Saturday 16 September 2017

MAJLIS APRESIASI SEMPENA PERSARAAN YDP MGC KEDAH

Bertempat di Dewan Halia, Hotel Grand Alora Alor Setar, Majlis Apresiasi Sempena Persaraan Tn. H Rodzli bin Hashim, mantan Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Malaysia merangkap mantan YDP Majlis Guru Cemerlang Kedah telah diadakan. Majlis yang berlangsung pada 14 Sptember 2017 itu berlangsung sederhana tetapi begitu bermakna kepada warga MGC Kedah. Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Guru Cemerlang Negeri Kedah itu turut dihadiri oleh tigaorang wakil MGC iKUPS iaitu En. Ariffin, Pn. Asmaniza dan Pn. Aisyah. 

Tn. Hj Rodzli selaku orang lama dan banyak menyumbang kepada pemerkasaan Guru Cemerlang di seluruh negara telah menamatkan perkhidmatan sebagai warga pendidikan pada 13 September 2017 selepas lebih 30 tahun menyumbang khidmat baktinya kepada anak bangsa.


Dalam ucapannya, Tn. Hj Rodzli telah berkongsi pengalaman dan perjalanan beliau selaku pendidik yang bermula di SMK Mat Salleh, Ranau, Sabah pada 1981 sehinggalah beliau bersara di SMK Hutan Kampung, Alor Setar. Seolah-olah tiada kepahitan, beliau telah berkongsi detik-detik manis beliau bergelar pendidik, khususnya sebagai perintis guru cemerlang (Guru Pakar) DG 48 pada 1995 sehinggalah dilantik sebagai perintis Guru Cemerlang Gred Khas C pada 2007. Pengetahuan, pengalaman dan rasa hati beliau telah dicurahkan dalam majlis ini yang tidak dapat tidak akan menjadi inspirasi kepada semua guru cemerlang, khususnya di negeri Kedah. Beliau turut menayangkan tayangan slaid aktiviti beliau sebagai guru bersama-sama dengan murid-muridnya, selain kompilasi hasil kerja beliau yang sememangnya cukup tersusun.


MGC iKUPS yang turut menerima sentuhan dan nasihat langsung daripada beliau berasa bertuah kerana dapat mengenali dan menjadi sebahagain daripada warga guru cemerlang Malaysia di bawah bimbingan beliau. Nasihat, panduan dan tunjuk ajar yang diberikan beliau sesungguhnya akan menjadi azimat yang akan digunakan dalam meningkatkan lagi martabat dan maruahguru cemerlang, khususnya di iKUPS.

Tenang-tenang air laut,
Sampan kolek mudikke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.



No comments:

Post a Comment