Tuesday, 3 October 2017

BENGKEL PACAK 21

Berbekalkan tekad untuk terbilang, Majlis Guru Cemerlang SBP Integrasi Kubang Pasu (MGCiKUPS) mengorak langkah meningkatkan profesionalisme GC iKUPS. Bengkel Pemurnian Modul Pembelajaran& Pemudahcaraan Akademik Cemerlang Abad ke-21 (PACAK-21) telah berjaya dijalankan di Federal Villa Langkawi pada 28 hingga 30 September 2017. Bengkel ini telah dihadiri oleh enam orang guru cemerlang dan dua guru bimbingan GC serta Penolong Kanan merangkap caretaker MGCiKUPS, En. Hisamuddin bin Kamis. Lebih membanggakan, guru-guru cemerlang iKUPS ini telah dibimbing oleh fasilitator muda yang juga alumni iKUPS, Sdr. Hasif Sukri, graduan UPSI dalam bidang Multimedia dengan Pendidikan. 

Selama tiga hari dua malam, Bengkel PACAK-21 ini telah berjaya merumuskan dan memurnikan konsep penulisan Modul Aktiviti KBAT dalam Pembelajaran Luar Bilik Darjah dan Modul RPH P&Pc Abad ke-21. Peserta bengkel juga telah diberi pendedahan asas teknik pengeditan video menggunakan perisian pengeditan movie. Tujuannya adalah untuk menyediakan asas kepada guru-guru cemerlang iKUPS mengongsikan idea dan teknik P&Pc menggunakan medium video. 

Pada akhir bengkel bertemakan santai ini, semua peserta telah diberi tugasan khusus bagi menyiapkan penulisan akhir untuk kedua-dua modul serta membikin sebuah video pendek berdurasi lima minit Bengkel PACAK-21. Semoga semua peserta dapat menyiapkan tugasan dalam tempoh masa yang diberi.

Tahniah!!!

#PACAK21 #MGCiKUPS #bertekad terbilang #kerjacuti









Thursday, 21 September 2017

MENUJU PUNCAK



Indah sungguh warna pelangi,
Tidak luput hingga senja;
Ke lurah sama diharungi,
Usaha bersama membawa bahagia.

Sawah padi luas terbentang,
Kuning keemasan indahnya maya;
Percaya-mempercayai asas berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.

Harum sungguh bunga melati,
Hiasan sanggul amat memikat;
Bertolak ansur, hormat-menghormati,
Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.

Saturday, 16 September 2017

Majlis Apresiasi Persaraan Mantan YDP MGCM

Bertempat di Dewan Halia, Hotel Grand Alora Alor Setar, Majlis Apresiasi Sempena Persaraan Tn. H Rodzli bin Hashim, mantan Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Malaysia merangkap mantan YDP Majlis Guru Cemerlang Kedah telah diadakan. Majlis yang berlangsung pada 14 Sptember 2017 itu berlangsung sederhana tetapi begitu bermakna kepada warga MGC Kedah. Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Guru Cemerlang Negeri Kedah itu turut dihadiri oleh tigaorang wakil MGC iKUPS iaitu En. Ariffin, Pn. Asmaniza dan Pn. Aisyah. 

Tn. Hj Rodzli selaku orang lama dan banyak menyumbang kepada pemerkasaan Guru Cemerlang di seluruh negara telah menamatkan perkhidmatan sebagai warga pendidikan pada 13 September 2017 selepas lebih 30 tahun menyumbang khidmat baktinya kepada anak bangsa.


Dalam ucapannya, Tn. Hj Rodzli telah berkongsi pengalaman dan perjalanan beliau selaku pendidik yang bermula di SMK Mat Salleh, Ranau, Sabah pada 1981 sehinggalah beliau bersara di SMK Hutan Kampung, Alor Setar. Seolah-olah tiada kepahitan, beliau telah berkongsi detik-detik manis beliau bergelar pendidik, khususnya sebagai perintis guru cemerlang (Guru Pakar) DG 48 pada 1995 sehinggalah dilantik sebagai perintis Guru Cemerlang Gred Khas C pada 2007. Pengetahuan, pengalaman dan rasa hati beliau telah dicurahkan dalam majlis ini yang tidak dapat tidak akan menjadi inspirasi kepada semua guru cemerlang, khususnya di negeri Kedah. Beliau turut menayangkan tayangan slaid aktiviti beliau sebagai guru bersama-sama dengan murid-muridnya, selain kompilasi hasil kerja beliau yang sememangnya cukup tersusun.


MGC iKUPS yang turut menerima sentuhan dan nasihat langsung daripada beliau berasa bertuah kerana dapat mengenali dan menjadi sebahagain daripada warga guru cemerlang Malaysia di bawah bimbingan beliau. Nasihat, panduan dan tunjuk ajar yang diberikan beliau sesungguhnya akan menjadi azimat yang akan digunakan dalam meningkatkan lagi martabat dan maruahguru cemerlang, khususnya di iKUPS.



Tenang-tenang air laut,
Sampan kolek mudikke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.






Tuesday, 8 August 2017

MESYUARAT AJK SEMINAR KEBANGSAAN GURU CEMERLANG MALAYSIA 2017

Hari ni kami semua menghadiri mesyuarat jawatankuasa Seminar Kebangsaan Guru Cemerlang Malaysia bertempat di Institut Aminuddin Baki, Jitra. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YDP Majlis Guru Cemerlang Malaysia, Tn. Hj. Rodzli b Hashim yang akan bersara tak lama lagi.


Tak sampai seminggu seminar akan berlangsung. Dan semuanya mesti diselesaikan dengan baik, di saat semua kami juga akan sibuk dengan pelbagai tugasan rasmi yang lain minggu ini.





Semua GC iKUPs ditugaskan sebagai urus setia bagi slot perkongsian guru cemerlang, manakala Pn. Husni Syakirah akan membantu bagi urusan pendaftaran peserta. 

MGC iKUPs juga ditugaskan menyediakan video kejayaan GC seluruh Malaysia yang akan ditayangkan semasa majlis perasmian dan penutupan nanti. Untuk itu, kami turut melibatkan bakal GC iKUPs, Omar yang akan menyediakan bahan multimedia tersebut, di samping memberikan pendedahan kepada beliau tentang dunia GC secara tidak langsung!.



Thursday, 20 July 2017

Kem KBAT : Aplikasi KBAT & PdPc Abad ke-21

Apakah KBAT? Apa pula PdPc Abad ke-21? Kami yakin hampir semua warga pendidik mengetahuiperkara ini. Ia dulang sebut oleh pelbagai pihak : dari Menteri hinggalahke Pengetua dan Guru Besar. Apatahlagi dengan pengenalan PPPM yang menyasarkan sistem pendidikan negara menjadi satu pertiga yang terbaik di dunia. Persoalannya, berapa ramaikah yang telah mengaplikasikan konsep PAK-21 dan KBAT dalam P&Pc masing-masing? Sejauh manakah pula penguasaan kita dalam PAK-21 ini dalam memberi pemahaman kepada pelajar di dalam kelas?

Bertitik tolak daripada perkara tersebut, maka MGC iKUPS dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling serta Penyelaras Tingkatan 1 & 2 telah mengadakan bengkel aplikasi PAK-21 dan KBAT kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 & 2 iKUPS. Bengkel yang dijalankan sehari suntuk itu mengisi slot utama Kem Sayang iKUPS untuk pelajar Tingkatan 1 & 2. Kedua-dua kursus ini telah dijalankan di sebuah kem di Yan, Kedah. Slot pertama bengkel ini adalah untuk pelajar Tingkatan 1 yang diadakan pada 6 Julai 2017 sementara slot kedua untuk pelajar Tingkatan 2 pada 17 Julai 2017. Kedua-dua slot ini bermula pada jam 8.30 pagi dan berkahir pada jam 5.00 petang. Bengkel telah diajalankan dalam tiga slot iaitu : Pengenalan KBAT, Aplikasi KBAT dalam P&Pc dan Aplikasi Penyelesaian Masalah. 


Slot Pengenalan KBAT telah diberikan oleh En. Ariffin bin Salleh. Dalam slot ini peserta telah diperkenalkan dengan KBAT dan alat-alat berfikir. Beliau telah memperkenalkan konsep dan penggunaan peta pemikiran (i-Think), peta minda dan Six Thinking Hat. Peserta turut menjalani latihan ringkas terhadap 'alat berfikir' yang diperkenalkan.


Selanjutnya pada slot kedua, peserta telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Mereka perlu melalui 10 stesen dengan menjalankan aktiviti yang telah ditetapkan di setiap stesen. Stesen-stesen itu meliputi stesen Bahasa Melayu, Sains, Matematik, Geografi, dan Permainan Berfikir. Setiap stesen telah menyediakan aktiviti yang melilbatkan kemahiran KBAT dan penggunaan alat berfikir. Kumpulan yang berjaya diberikan hadiah yang boleh digunakan dalam aktiviti 3 yang akan dijalankan pada sebelah petang. Aktiviti selama 3 jam ini telah berjaya membuka minda pelajar untuk berfikir di luar lingkungan apabila berdepan dengan aktiviti melibatkan kemahiran berfikir dalam penyelesaian masalah.



selanjutnya, pada sebelah petang peserta diberikan tugasan memyelsaikan masalah menggunakan gabungan sains dan kemahiran berfikir secara kreatif. Slot untuk pelajar tingkatan 1 diisi dengan aktiviti membina menara teguh sementara peserta tingkatan 2 pula aktiviti rakit. Kedua-dua aktiviti ini memperlihatkan aplikasi pengetahuan sains dan KBAT pelajar dalam memastikan binaan mereka menarik, berfungsi dan teguh.




Bengkel ini diharapkan membuka dimensi baharu dalam pembelajaran pelajar di dalam kelas terutama penggunaan alat-alat berfikir dalam menyelesaikan maslaah. Kami juga berharap agar penggunaan alat-alat berfiir seperti peta minda, peta pemikiran dan 6 Thinking Hat terus diamalkan oleh guru-guru subjek dalm P&Pc di dalam kelas. Semoga dengan itu usaha melahirkan pelajar yang kritis dan kreatif akan membuahkan hasilnya seperti yang diharap-harapkan oleh KPM.

Wednesday, 12 July 2017

REZEKI TIDAK PERNAH SALAH ALAMAT

Alhamdulillah, penantian yang tidak sia-sia. 

Sejak diobserve pada Ogos 2016, kami tidak begitu memikirkan sangat mengenai pencalonan ini disebabkan pengalaman lalu mengajar untuk let go dan move on, kebetulan pula dengan tugasan yang bertimbun-timbun, maka redha sajalah dengan apa jua keputusannya. Sekurang-kurangnya kami telah buat yang terbaik.

Keputusan bagi pencalonan tahun 2016 diketahui agak lambat juga. Sehinggalah permohonan baru dibuka untuk tahun 2017, kami memutuskan untuk mencuba lagi. Wah, bukan senang nak melunaskan kata-kata mencuba lagi tu, sebab bukan sedikit bahan yang nak disediakan!.

Atas nasihat rakan GC, Cikgu Hailmi, sebelum mengisi borang baru yang berformat baru tersebut, kami menghubungi BSM terlebih dahulu untuk mengetahui status permohonan tahun lalu. Dan Alhamdulillah, rezeki Ramadhan katanya....

Surat diterima pun lewat dari rakan-rakan lain. Maklumlah, kena lalui 'ayah' kami dulu iaitu Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK). Orang dah hantar semula surat terima kepada JPN, barulah surat sampai ke pejabat!. Itupun lepas saya 'paksa' orang ofis hubungi BPSBPSK!.

Pagi itu, Pengetua memanggil kami berdua masuk mengadap. Kami relaks saja, ya lah dah tahu lama, kan!. Tak berapa surprise :-). Lama bersembang mengenai perjalanan akademik sekolah, berbasa-basi, akhirnya barulah beliau menyampaikan berita gembira ni secara rasmi. 

Syukurlah, akhirnya surat yang ditunggu-tunggu dah selamat sampai ke tangan kami, dan secara rasminya juga, kami bergelar Guru Cemerlang DG48 (KUP) pada tahun perkhidmatan ke-13, awal 3 tahun daripada tahun yang sepatutnya kami terima (2020).



Maasya Allah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).

Itulah. Perjalanan dalam dunia pendidikan, tak akan semuanya indah-indah belaka. Kena sentiasa bersedia menempuhi apa sahaja cabaran mendatang. 

Semoga dengan rezeki yang Allah kurniakan ini akan membuatkan kami lebih tunduk, dan berusaha untuk memberi dengan lebih banyak kepada agama, bangsa dan negara!

BENGKEL PACAK 21

Berbekalkan tekad untuk terbilang, Majlis Guru Cemerlang SBP Integrasi Kubang Pasu (MGCiKUPS) mengorak langkah meningkatkan profesionalisme...