Wednesday, 12 July 2017

REZEKI TIDAK PERNAH SALAH ALAMAT

Alhamdulillah, penantian yang tidak sia-sia. 

Sejak diobserve pada Ogos 2016, kami tidak begitu memikirkan sangat mengenai pencalonan ini disebabkan pengalaman lalu mengajar untuk let go dan move on, kebetulan pula dengan tugasan yang bertimbun-timbun, maka redha sajalah dengan apa jua keputusannya. Sekurang-kurangnya kami telah buat yang terbaik.

Keputusan bagi pencalonan tahun 2016 diketahui agak lambat juga. Sehinggalah permohonan baru dibuka untuk tahun 2017, kami memutuskan untuk mencuba lagi. Wah, bukan senang nak melunaskan kata-kata mencuba lagi tu, sebab bukan sedikit bahan yang nak disediakan!.

Atas nasihat rakan GC, Cikgu Hailmi, sebelum mengisi borang baru yang berformat baru tersebut, kami menghubungi BSM terlebih dahulu untuk mengetahui status permohonan tahun lalu. Dan Alhamdulillah, rezeki Ramadhan katanya....

Surat diterima pun lewat dari rakan-rakan lain. Maklumlah, kena lalui 'ayah' kami dulu iaitu Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK). Orang dah hantar semula surat terima kepada JPN, barulah surat sampai ke pejabat!. Itupun lepas saya 'paksa' orang ofis hubungi BPSBPSK!.

Pagi itu, Pengetua memanggil kami berdua masuk mengadap. Kami relaks saja, ya lah dah tahu lama, kan!. Tak berapa surprise :-). Lama bersembang mengenai perjalanan akademik sekolah, berbasa-basi, akhirnya barulah beliau menyampaikan berita gembira ni secara rasmi. 

Syukurlah, akhirnya surat yang ditunggu-tunggu dah selamat sampai ke tangan kami, dan secara rasminya juga, kami bergelar Guru Cemerlang DG48 (KUP) pada tahun perkhidmatan ke-13, awal 3 tahun daripada tahun yang sepatutnya kami terima (2020).



Maasya Allah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).

Itulah. Perjalanan dalam dunia pendidikan, tak akan semuanya indah-indah belaka. Kena sentiasa bersedia menempuhi apa sahaja cabaran mendatang. 

Semoga dengan rezeki yang Allah kurniakan ini akan membuatkan kami lebih tunduk, dan berusaha untuk memberi dengan lebih banyak kepada agama, bangsa dan negara!

No comments:

Post a Comment