Wednesday, 24 April 2019

REUSE : HEBATNYA INOVASI BADAR!

Sebaik saja anda jejakkan kaki ke Musolla Jannatun Naim, anda akan disajikan dengan pemandangan menarik iaitu projek alam sekitar BADAR.

Projek aquaponik ini dinamakan sebagai Inovasi Re-Wuduk. 

Projek ini dijalankan bertujuan untuk menggunakan semula air musta'mal bagi menyiram tanaman-tanaman di surau. Konsep ini dicetuskan bagi mengimplementasikan kaedah kesuburan melalui wuduk yang memberi tamsilan kepada 'kesuburan hati'.

Objektif bagi penghasilkan inovasi ini adalah seperti berikut : 
  • Menyelesaikan masalah pembaziran air di surau.
  • Menyedarkan para pelajar betapa pentingnya penjimatan dalam menggunakan air yang juga dituntut dalam Islam.
  • Menarik minat pelajar mencintai alam sekitar.
  • Memupuk dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan pelajar.
Inovasi Re-Wuduk ini menggunakan teknologi pertanian yang memudahkan urusan menyiram tanaman dengan menggunakan sisa air wuduk dalam satu kitaran. Sistem kitaran air ini ialah bermula dari tempat wuduk lelaki dan perempuan di musolla ke kawasan tanaman di sekitar musolla.

Projek ini tidak memerlukan kos yang tinggi kerana hanya menggunakan air tadahan bekas wuduk pelajar. Sistem ini mendatangkan keuntungan kepada sekolah kerana dapat menyumbang kepada penyelesaian masalah bil air yang tinggi.






Projek Re-Wuduk ini sememangnya memberikan impak positif kepada warga sekolah. Selain dapat membantu mengurangkan pembaziran air, memupuk kesedaran alam sekitar serta kerjasama antara warga sekolah, ia juga memberikan satu pemandangan indah kepada persekitaran musolla Jannatun Naim.

Adalah diharapkan dengan tercetusnya inovasi ini, akan dapat membuka minda mencetus idea ke arah menyemarakkan lagi ruh Islamiyyah / tarbiyyah ruhiyyah serta biah solehah di iKUPs!.



 

Tuesday, 5 March 2019

RECYCLE : K'LAKA

Jangan salah sebut! ")
Bukan kelakar, tapi K'LAKA ialah singkatan kain-lap-kaki :-)

Anda semua tahu, kan.

Di Malaysia, penerapan amalan 3R dalam kalangan masyarakat dibuat bertujuan untuk mengurangkan penjanaan sisa pepejal dan seterusnya mengelakkan bahan kitar semula dilupuskan di tapak pelupusan. Pihak kerajaan sendiri telah mensasarkan pencapaian kadar kitar semula di Malaysia sebanyak 22% menjelang tahun 2020.  

Di sekolah, pembudayaan amalan 3R ini perlu dipupuk kepada seluruh warganya supaya setiap ahli dalam komuniti sekolah tahu tentang kebaikan amalan ini seterusnya menjadikannya sebagai rutin dalam kehidupan:
  • Amalan Kurangkan (Reduce) dapat mengelakkan pembaziran barangan dan wang.
  • Amalan Guna Semula (Reuse) mengelakkan pembelian bahan baru. Sebagai contoh, penggunaan produk isian semula lebih murah dan mesra alam.
  • Amalan Kitar Semula (Recycle) selain dapat menjana tabungan dengan menjual kepada pusat kitar semula atau pembeli barangan kitar semula berdekatan.
Di sekolah, antara masalah yang PERGEO kenalpasti ialah longgokan baju-baju yang jatuh dari ampaian dan tidak dikutip. Kaya bebenor bebudak ni ya :-)

Longgokan baju yang dipungut oleh makcik cleaner diletakkan di satu ruang khas bertujuan memudahkan tuan punya baju mencari dan mengambil semula baju mereka.

Tapi kan, berapa % je pelajar ambil balik baju, selebihnya dibiarkan tidak bertuan. Longgokan baju ini, selain menyakitkan hati dan pandangan mata, boleh juga mengundang kehadiran haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking. Maklumlah, tempat sejuk dan 'wangi'. 

Jadi PERGEO kitar semula baju-baju tersebut menjadi K'LAKA!

Sebenarnya idea K'LAKA ni diperolehi daripada cadangan seorang ahli persatuan iaitu Zaim. 




TQ Zaim!

Jom tengok suasana penyediaan K'LAKA ni :-)


Tunjuk cara menyediakan K'LAKA 
semasa perjumpaan persatuan;


  




Penyediaan K'LAKA oleh 
PERGEO tingkatan 5;





Boleh buat kain lap kaki saja ke? 😊

Tak, kami juga jadikan K'LAKA sebagai alas periuk panas!



Alhamdulillah :)

Diharapkan agar inisiatif ini menjadi titik permulaan yang baik bagi meningkatkan kesedaran warga SBP Integrasi Kubang Pasu terhadap kepentingan menguruskan sisa pepejal dengan betul seterusnya menjaga kebersihan dan keharmonian kawasan sekolah.

Sunday, 10 February 2019

KOMPOS : LARUTAN ENZIM

Berpeluang meninjau sekitar asrama dan dewan makan, rasa macam nak tabik hormat kepada orang kuatnya, Puan Jainon Ngaini, Pen. Kanan Hal Ehwal Murid yang konsisten menjalankan projek pengkomposan iaitu menyediakan larutan enzim daripada sisa sayur-sayuran dan buah-buahan yang diambil dari dewan makan asrama. 

Antara bahan asas yang digunakan termasuklah :
  • Sisa sayur-sayuran
  • Kulit buah-buahan
  • Gula merah
  • Air putih
  • Kalsium karbonat
  • Minuman Yakult

Cara penyediaan :
  • 3 kg sisa sayur-sayuran dan kulit buah-buahan yang dikumpul dicincang dan digaulkan.
  • Masukkan ke dalam satu tong takungan.
  • Bancuh gula merah dengan 10 liter air dan gaul dengan bahan yang dicincang tadi.
  • Gaulkan adunan dengan sedikit (sejemput) kapur – Kalsium Karbonat .
  • Tuang sebotol minuman Yakult dan digaul adunan menjadi rata.
  • Tutup tong supaya adunan terperam selama 14 hari.  
Larutan yang telah siap digunakan oleh warga asrama untuk tujuan-tujuan yang telah ditetapkan, antaranya sebagai baja tanaman taman herba dan sebagai bahan pencuci longkang di kawasan asrama.
 
 







Projek ini mendapat sambutan yang baik daripada seluruh warga asrama. 
Sisa buangan dari dapur dewan makan dapat dikurangkan.

 Warga asrama memperoleh ilmu dan pengetahuan dalam 
menjaga alam sekitar yang tidak diperolehi dalam kelas.